16 November 2008

PPSMI Mungkin Menang

SEBELUM Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 dijalankan lagi, saya sudah menjangka bahawa keputusan ujian itu akan berpihak kepada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sehari sebelum keputusan UPSR diumumkan pada 13 November 2008 itu, menteri yang bertanggungjawab telah membuat bayangan bahawa PPSMI tidak bersalah, dan tidak perlu dihentikan.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd Dom, selepas keputusan diumumkan, berkata bahawa 159,234 orang calon (31.1%) daripada 511,875 sampel yang digunakan telah mengambil UPSR dalam bahasa Inggeris sepenuhnya bagi mata pelajaran Sains. Menteri Pelajaran pula membuat kesimpulan bahawa keputusan di bawah PPSMI memuaskan dan tidak menjejaskan prestasi pelajar, walaupun terdapat penurunan pelajar yang memperoleh 5A. Menurut beliau lagi, keputusan itu menafikan tuduhan liar yang penuh emosi yang dibuat oleh beberapa pihak sebelum ini (Utusan Malaysia, 14 November 2008 - hlm. 3).
Keputusan UPSR juga menunjukkan peningkatan pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu bagi kertas Pemahaman dan Penulisan berbanding dengan purata pencapaian pada tahun 2003-2007. Hal ini juga dapat menolak dakwaan pihak yang tidak bersetuju dengan PPSMI bahawa pelaksanaan dasar itu dapat menyebabkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar akan merosot.
Sebelum ini, beberapa persidangan meja bulat yang dibuat oleh beberapa pihak telah memutuskan bahawa PPSMI tidak wajar diteruskan kerana akan memberi kesan yang tidak baik kepada bahasa kebangsaan. Kementerian Pelajaran dilaporkan akan membuat keputusan tentang penggunaan PPSMI itu berdasarkan laporan persidangan meja bulat yang diadakan dan keputusan UPSR.
Banyak pihak lain pula mahu agar PPSMI diteruskan. Terdapat individu yang berpendapat bahawa kesan PPSMI tidak dapat diukur dalam masa yang singkat, dan program itu harus diberi masa yang lebih panjang. Pihak yang tidak bersetuju juga berpendapat bahawa kesan tidak baik PPSMI terhadap bahasa kebangsaan tidak dapat dilihat dalam masa yang pendek.
Sungguhpun lebih 50% calon UPSR 2008 menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya, kita tidak didedahkan latar belakang calon tersebut. Kemungkinan besar calon tersebut ialah pelajar yang telah biasa dengan penggunaan bahasa Inggeris ketika berinteraksi dengan keluarga, malahan ada yang memang tidak langsung menggunakan bahasa kebangsaan semenjak pandai berkata-kata.
Kajian perlu dibuat terhadap lepasan UPSR ini setelah mereka masuk ke sekolah menengah rendah. Secara rambang, didapati banyak juga pelajar yang cemerlang dalam UPSR, amat menghampakan pencapaian mereka dalam peperiksaan dalaman setelah berada di sekolah menengah, malahan ada yang terperosok dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada penghujung tingkatan tiga. Hal ini mungkin berkaitan dengan pengajaran di sekolah rendah, khususnya semasa dalam darjah enam, yang berbeza daripada cara pembelajaran di sekolah menengah.
Dalam hal ini, Kementerian Pelajaran dan kerajaan perlu mengambil kira pandangan banyak pihak sebelum membuat keputusan tentang PPSMI. Kita tidak boleh menang sorak tetapi kampung tergadai. Kita tidak mampu untuk menyesal kemudian. Sekiranya keputusan tentang hal ini menyebabkan segala yang telah dirancang semenjak 51 tahun dahulu itu musnah, sedarlah bahawa untuk kembali kepada kejayaan asal itu memang sangat sukar.

20 Oktober 2008

Tan Lian Hoe Menyelewengkan Fakta Sejarah

KENYATAAN Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Tan Lian Hoe, ketika berucap kepada umum, tentang orang Melayu, amat mendukacitakan orang Melayu yang patriotik, memahami sejarah dan tidak dipengaruhi kepentingan politik sempit. Kenyataannya bahawa kaum Melayu pendatang seperti orang Cina dan orang India, kononnya datang dari Sumatera, dan penduduk asal negara ini hanya orang Asli, amat menyeleweng daripada fakta.

Dari manakah Datuk Tan Lian Hoe mendapat fakta itu? Saya berpendapat kenyataan itu rekaannya semata-mata. Namun demikian, apakah tujuannya? Adakah untuk membalas kenyataan yang pernah dibuat oleh seorang ketua bahagian UMNO, Datuk Ahmad Ismail dalam kempen pilihan raya pada bulan Mac lalu?

Saya mahu melupakan apa-apa sahaja tujuannya membuat kenyataan bohong itu. Saya sebagai orang Melayu berasa kenyataan itu perlu ditepis dan ditunjukkan hal yang sebenar. Jika tidak dibetulkan, semakin banyak warga Malaysia mempercayai pandangan karut itu.

Agaknya asal usul orang Melayu itu cuba dikaitkan oleh timbalan menteri itu dengan kerajaan Sriwijaya yang wujud pada abad ke-5. Kerajaan dari Palembang itu muncul sebagai penakluk dengan menguasai seluruh pantai barat Sumatera, kawasan Jawa barat, selatan Borneo, hampir seluruh Tanah Melayu, dan menjangkau ke Segenting Kra. Barangkali hipotesis timbalan menteri itu, melalui penaklukan ini, orang dari Sumatera mula menduduki Tanah Melayu dan kekal di negara ini hingga hari ini.

Jika demikialah tanggapannya, ternyata hal itu salah. Sesuatu penaklukan hanya terjadi apabila ada bangsa yang asalnya mendiami kawasan yang ditakluki itu. Oleh itu, Sriwijaya tidak datang ke Tanah Melayu menakluk pokok, gunung, batu dan sungai. Mereka datang menakluk penduduk yang sudah sedia ada di Tanah Melayu ketika itu. Penduduk yang sedia ada yang ditakluk itu tentulah orang Melayu. Dengan hal yang demikian, orang Melayu sudah ada di tanah bertuah ini sebelum kedatangan orang kerajaan Sriwijaya dari Sumatera itu. Kesimpulannya, orang Melayu penduduk asal negara ini, bukan pendatang dari kawasan lain.

Prof. Dr. Nik Hassan Suhaimi telah membentangkan satu dapatan bahawa orang Melayu dan bumiputera telah wujud di Semenanjung Malaysia semenjak lebih 35,000 tahun dahulu. Hal ini bermakna bahawa orang Melayu telah mendiami negara ini amat lama sebelum penaklukan Tanah Melayu oleh kuasa dari Sumatera.

Oleh itu, saya berpendapat Datuk Tan berbohong dan telah dengan sengaja menimbulkan persepsi tidak betul tentang orang Melayu. Orang Melayu tidak boleh disamakan dengan orang Cina, kerana orang Cina memang betul berhijrah ke serata pelosok dunia ini dan cuba membentuk tamadun luar negara setelah lari daripada kekacauan di negara sendiri pada beberapa abad lalu. Kenyataan oleh Datuk Ahmad Ismail tentang hal itu satu fakta yang sahih. Beliau tidak salah dari segi fakta.

Melalui laman ini, saya menggesa Datuk Tan meminta maaf dengan segera dan secara rasmi melalui sidang media atas kesalahan besar yang dilakukannya daripada orang Melayu. Hal ini tidak wajar kerana Datuk Tan seorang timbalan menteri. Hal ini lebih tidak wajar kerana dia memperoleh kedudukannya sekarang di kawasan yang dimiliki orang Melayu semenjak sekian lama. Anda tidak wajar menjadi kacang lupa akan kulit.

23 Julai 2008

BAHASA MELAYU SEMAKIN ROJAK







BAHASA Melayu dianggap sebagai bahasa yang dinamik. Tanggapan itu dibuat dengan berdasarkan keterbukaan bahasa Melayu untuk menerima kemasukan unsur bahasa lain ke dalam bahasa itu.



Menerima unsur bahasa asing, khususnya istilah, bukan kesalahan. Memang wajar bahasa Melayu menerima pakai istilah daripada bahasa lain. Hal itu terjadi demikian kerana kita tidak dapat mencipta istilah sendiri. Ketiadaan istilah baharu ciptaan sendiri ini bukan kelemahan bahasa Melayu, tetapi kekurangan yang wujud dalam masyarakat kita. Kekurangan yang saya maksudkan ialah ketiadaan penerokaan bidang baharu yang membolehkan kita mencipta istilah baharu sendiri yang sesuai dengan bidang itu. Kita hanya mengikuti dan menggunakan bidang yang diterokai tamadun lain, dan yang malangnya, bukan dari kalangan tamadun Islam.



Kita tidak mencipta apa-apa, sebaliknya kita menggunakan segala produk orang lain. Dengan yang demikian, kita tidak dapat mengetengahkan istilah atau perkataan ciptaan kita. Jika kita cuba menggantikan istilah asal daripada bahasa asing pun, kita mungkin kurang berjaya kerana isitilah ciptaan kita tidak dapat menepati maksud asal istilah asing itu. Oleh itu, mahu tidak mahu, kita terpaksa menggunakan istilah asalnya, dengan sedikit ubahsuai sekadar yang perlu mengikut dasar penterjemahan atau pengambilan istilah luar yang kita gunakan sekarang.



Keadaan ini membuka ruang yang besar bagi kemasukan istilah asing secara tidak terkawal oleh pihak yang tidak mementingkan peraturan peminjaman. Istilah asing dianggap sangat indah dan tersohor apabila digunakan. Tanggapan ini menyebabkan ada yang menamakan kumpulan mereka Bad Boys, contohnya, yang sedap disebut, tetapi maknanya tidak sesedap sebutannya. Dengan tanggapan itu juga, banyaklah istilah dari luar itu digunakan, dan menggantikan perkataan bahasa Melayu yang sedia ada, walaupun perkataan bahasa Melayu itu sudah tepat dan digunakan sekian lama.



Dalam pertandingan pidato dan perbahasan dalam kalangan pelajar sekolah, misalnya, sering digunakan perkataan konklusi. Perkataan itu sama maknanya dengan perkataan kesimpulan yang sudah lama digunakan dalam bahasa Melayu. Banyak pihak sekarang menggunakan perkataan karnival, dan ada yang menggunakan perkataan fiesta, sedangkan sebelum ini perkataan pesta sudah digunakan dengan mantapnya. Tiada yang indah pada perkataan karnival, malahan sekiranya tersilap sebut, akan terpacul perkataan karnivor, yang membawa makna lain sama sekali.



Barangkali hal ini bukannya salah pengguna atau pembawa masuk perkataan asing itu semata-mata. Banyak perkataan sedemikian dimasukkan ke dalam Kamus Dewan. Pengguna bahasa akan menganggap perkataan sedemikian sudah rasmi diterima ke dalam bahasa Melayu kerana sudah berada di dalam kamus, sedangkan kamus itu turut merakamkan banyak perkataan tidak baku. Saya difahamkan bahawa sesuatu kata yang digunakan beberapa kali akan dimasukkan ke dalam kamus itu.



Untuk mengelakkan kekeliruan tentang status sesuatu istilah asing itu sama ada sesuai untuk penggunaan rasmi atau tidak, saya mengemukakan tiga cadangan. Pertama, diberi nota atau catatan bahasa perkataan pinjaman itu sesuai untuk lisan atau baku. Sebaik-baiknya perkataan yang sudah ada dalam bahasa Melayu, tidak perlu lagi diterima perkataan asing sebagai variasi untuknya. Kedua, perkataan daripada bahasa asing yang tidak popular atau tidak digunakan langsung dalam bahasa Melayu, contohnya perkataan daripada bahasa Indonesia, pilon, imlek, buron, dan sebagainya, dikeluarkan sahaja daripada kamus bahasa Melayu. Ketiga, saya mencadangkan diwujudkan kamus baku yang setaraf Kamus Dewan. Oleh sebab kita sudah mempunyai Kamus Pelajar Bahasa Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang memuatkan kata masukan yang baku sahaja, lebih baik kamus itu dinaikkan tarafnya. Kita tidak memerlukan banyak kamus yang tidak dapat membantu kelestarian bahasa Melayu yang bermutu.



Penggunaan bahasa rojak, iaitu campuran frasa atau klausa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam satu ayat semakin berleluasa. Pengguna bahasa yang prihatin wajar mengelakkan bahasa rojak yang merosakkan keharmonian bahasa kita yang indah ini.



19 Jun 2008

LAGI TENTANG PPSMI


DALAM coretan lalu dalam laman ini, “Minta Dikaji Semula Pelaksanaan PPSMI”, bertarikh 5 Jun 2008, sudah saya nyatakan bahawa amat tidak wajar untuk mengetepikan bahasa Melayu dalam usaha mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Saya percaya bahawa bukan saya sahaja yang berpendapat demikian. Tulisan kali ini sebagai sambungan bagi cetusan tersebut.

Bahasa Anugerah Kepada Bangsa

Bahasa Melayu milik kita yang hak dan sah. Bahasa ini diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada kaum yang dinamakan Melayu, yang mendiami tanah Nusantara ini, termasuk Malaysia. Bahasa ini anugerah kepada kita, maka mesti kita gunakan dan jagainya dengan baik. Bahasa Melayu tidak diturunkan untuk digunakan oleh orang Arab atau Eropah. Demikian juga bahasa lain, diturunkan untuk keturunan lain. Walaupun sesuatu bahasa itu perlu digunakan oleh kaum lain, penggunaan itu bukanlah yang kekal, sekadar dasar keperluan pada ketika dan suasana tertentu.

Bahasa Melayu, yang kini dinamai bahasa Malaysia pula, ialah bahasa kebangsaan negara kita. Bahasa ini telah dicatatkan dalam perlembagaan tertinggi di negara ini dalam Perkara 152. Mengikut perlembagaan Persekutuan Malaysia, mana-mana undang-undang lain yang bertentangan dengan peruntukannya, undang-undang itu terbatal setakat yang bertentangan. Namun, saya tidak pasti sama ada penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik yang diumumkan pada 20 Mei 2002 dan bermula pada tahun 2003 itu wajar atau tidak, kerana nampaknya ada percanggahan dari segi “rasmi”. Bahasa Melayu sepatutnya digunakan dalam urusan rasmi jabatan kerajaan, dan pengajaran di sekolah merupakan urusan rasmi.

Bahasa kebangsaan kita telah berkembang dengan baik semenjak dipupuk dan dijaga mulai kita mencapai kemerdekaan melalui peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, dan menjadi bahasa pengantar dari peringkat rendah hinggalah peringkat tertinggi dalam sistem pendidikan negara kita. Pendek kata bahasa kebangsaan telah selesa tumbuhnya dan diterima baik. Oleh hal yang demikian, tidak wajarlah bahasa kita ini diketepikan demi mencapai agenda mempertingkatkan bahasa lain. Terjadinya hal yang sedemikian ada kesan yang besar yang tidak dapat kita jangka sekarang.

Jalan Lain

Adakah wajar seorang petani yang telah mendapat pulangan lumayan daripada dusun duriannya, yang laris permintaannya dalam kalangan orang tempatan, tiba-tiba demi permintaan buah mangga yang disukai pelancong asing, dia menebang sebahagian daripada pokok duriannya untuk diganti dengan pokok mangga kerana buah mangga perlu untuk hubungan dagang dengan orang luar? Pada saya, tindakan itu sangat tidak bijaksana. Sepatutnya, petani itu mencari ruang tanah atau dusun lain untuk menanam pokok mangga. Dengan cara yang demikian, hasil durian yang baik tidak merosot, dan nanti dengan hasil mangga yang mungkin juga baik, maka keuntungan akan melimpah ruah.
Oleh itu, demi mencapai wawasan untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat Malaysia, kita tidak wajar mencantas kehidupan tenteram bahasa Malaysia dengan demikian mudah. Carilah kaedah, cara, pendekatan, sistem atau apa-apa bentuk lain untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa kedua itu. Dengan cara itu, “yang dikendong tidak berciciran, dan yang dikejar mungkin didapati”.

PPSMI untuk Menguasai Konsep Sains dan Matematik Sahaja?

Utusan Malaysia 17 Jun 2008 (*lihat berita itu yang dipetik daripada Utusan Online di hujung tulisan ini) menyiarkan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, YB Datuk Razali Ismail yang mengatakan bahawa PPSMI “...bukan untuk mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris, sebaliknya diperlukan bagi menguasai konsep sains dan matematik dalam bahasa antarabangsa itu”. Persoalannya, benarkah demikian?

Sekiranya PPSMI semata-mata untuk menguasai konsep dalam kedua-dua mata pelajaran itu, kita tidak memerlukan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya. Semasa kedua-dua mata pelajaran itu disampaikan dalam bahasa Melayu dahulu, sudah banyak istilah daripada bahasa Inggeris yang digunakan. Perkataan magnet, protein, sodium, ion, neutron, petroleum, dan sebagainya lagi dipinjam tanpa perubahan ejaan. Selain itu, banyak istilah lain yang dipinjam masih mengekalkan ciri bunyinya, tetapi diubahsuai ejaan agar selaras dengan bahasa Melayu, seperti sains, matematik, kinetik, aerograf, silinder, kolera, teknik, gris, nukleus, monsun, fisiologi, ekuinoks, ozon, dan sebagainya.

Konsep dapat dikuasai sekiranya difahami. Banyak pelajar masih gagal menguasai konsep yang digunakan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, khususnya tatabahasa, sedangkan konsep itu disampaikan dalam bahasa Melayu sendiri, dan bahasa Melayu itu digunakan pada setiap hari. Hal ini terjadi kerana kegagalan memahami konsep berkenaan.

Oleh itu, untuk tujuan menguasai bahasa, maka mata pelajaran bahasa juga yang dapat mencapai matlamat itu. Yang jelas, waktu dan kegiatan bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris harus ditambah dan diperkasakan sukatannya agar sesuai dengan keperluan semasa dan akan datang. Syarat wajib lulus mata pelajaran itu dalam peperiksan awam mungkin wajar dipertimbangkan, sebagaimana pentingnya lulus MUET untuk keperluan di universiti awam.

Pencapaian UPSR 2008

Mengikut YB Timbalan Menteri Pelajaran lagi, keputusan UPSR 2008 menjadi penanda aras bagi Kementerian Pelajaran untuk menetapkan dasar PPSMI. Maksudnya, sekiranya UPSR yang dijalankan dalam bahasa Inggeris mencatat kejayaan cemerlang, besar kemungkinannya PPSMI diteruskan. Kita tidak mahu dalam banyak senarai murid yang dikatakan cemerlang itu, masih banyak lagi yang kurang keupayaan bahasa Inggeris tetapi berpotensi akan kehilangan peluang. Kita berharap Kabinet Malaysia membuat keputusan yang bijak. Bahasa Melayu jangan rugi, bahasa Inggeris tidak terlepas.


*Yang berikut ialah berita yang disiarkan oleh Utusan Online (17.6.2008):

KUALA LUMPUR 16 Jun – Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini akan menjadi penanda aras bagi Kementerian Pelajaran untuk menetapkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, kementerian sedang membuat kajian terperinci terhadap pelajar tahun enam yang mula menggunakan bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik sejak 2003 dan akan menduduki UPSR tahun ini.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau kaedah penggunaan bahasa Inggeris bagi Sains dan Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Indah di sini hari ini, beliau berkata, penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran itu bukan untuk mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris, sebaliknya diperlukan bagi menguasai konsep sains dan matematik dalam bahasa antarabangsa itu.

Ketika ditanya bantahan sesetengah pihak mengenai pendekatan itu, Razali berkata, ia bukan menidakkan taraf bahasa Melayu sebaliknya bagi memastikan anak-anak dapat bersaing hingga ke peringkat global.

Razali berkata, beliau turut berbangga dengan pencapaian pelajar di pusat matrikulasi di seluruh negara apabila 90 peratus daripada mereka mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan memilih untuk menjawab soalan dalam bahasa itu.
“Guru-guru yang mengajar mereka telah dilatih melalui program E-TEMS atau English for the Teaching of Mathematics and Science,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bidang Sains dan Matematik, SMK Pandan Indah, Datin Rohayah Abdul Rahman berkata, pelaksanaan penggunaan bahasa Inggeris bagi Sains dan Matematik menunjukkan kesan positif apabila 91.4 peratus pelajar lulus dalam mata pelajaran Sains semasa peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2006 berbanding 89.5 peratus lulus pada tahun sebelumnya ketika peperiksaan masih dijalankan dalam bahasa Melayu.

Untuk mata pelajaran Sains bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2007, sebanyak 92 peratus pelajar lulus berbanding 88.8 peratus pada tahun sebelumnya semasa peperiksaan masih dijalankan dalam bahasa Melayu, katanya.
– Bernama

05 Jun 2008

MINTA DIKAJI SEMULA PELAKSANAAN PPSMI


WAJARKAH program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan?

Sudah banyak kali persoalan di atas disuarakan oleh beberapa pihak, khususnya yang memperjuangkan martabat bahasa Melayu. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau dalam bahasa Inggeris, English for Teaching Mathematics and Science, atau ringkasnya ETeMS dilaksanakan agar pelajar dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, dengan wawasannya, apabila keluar dari alam pendidikan nanti, modal insan ini akan menjadi golongan yang fasih berbahasa Inggeris, dan seterusnya laris dalam pasaran pekerjaan.

Malangnya, pelaksanaannya telah mengganggu peruntukan dan pelaksanaan yang sedia ada. Demi bahasa Inggeris, bahasa Melayu yang dimaktubkan sebagai bahasa pengantar pendidikan dikorbankan. Bahasa Melayu (kini ditetapkan agar dipanggil bahasa Malaysia pula) yang telah diberi martabat sebagai bahasa kebangsaan (mengikut Perkara 152 Perlembagaan Malaysia) dan bahasa rasmi (mengikut Akta Bahasa Kebangsaan 63/67) diketepikan.

Tujuannya baik, namun kaedah pelaksanaannya tidak tepat. Seharusnya kita memikirkan cara lain untuk memperkasakan bahasa Inggeris. Dengan kata lain, pemerkasaan bahasa Inggeris tidak sewajarnya menyusahkan penyuburan bahasa kebangsaan yang telah sekian lama kita laksanakan dengan jayanya.

Penggantian yang dibuat itu mengundang risiko yang mendalam bagi bahasa kebangsaan kita. Hasil laporan dan kajian yang dibuat akhir-akhir ini oleh beberapa badan didapati kesannya menepati pepatah, “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.

Laporan terbaharu tentang hal ini terdapat Berita Harian, 4 Jun 2008 (Rabu) pada halaman 23, dengan judul, “PPSMI gagal capai matlamat”. Menurut laporan ini, PPSMI “...gagal meningkatkan pemahaman konsep, ilmu dan kemahiran kedua-dua subjek berkenaan”. Kajian yang dibuat oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron bersama dengan empat orang pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Februari 2007 (1,564 orang murid dari 27 buah sekolah), Julai 2007 (636 orang murid dari 13 buah sekolah rendah), dan Januari 2008 (1,703 orang murid dari 28 buah sekolah rendah) menunjukkan beberapa kelemahan:

1. 85% murid menyatakan bahawa guru Matematik dan Sains menggunakan campuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
2. 83% (responden Januari 2008) menyatakan hal kesukaran untuk mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris.
3. Lebih 75% murid Melayu Tahun 5 kerap merujuk buku Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
4. 80% murid daripada semua keturunan menyatakan sukar mempelajari Sains, dan 70% sukar belajar Matematik.

Berita Harian, 4 Jun 2008

Kesan utama daripada kegagalan memahami ilmu dalam bahasa Inggeris ini ialah murid berkenaan akan memperoleh keputusan yang kurang baik dalam peperiksaan awam (UPSR, PMR, SPM, dan STPM), dan memungkinkan mereka gagal bersaing untuk mendapat tempat di pusat pengajian yang lebih baik.

Pemberian pilihan kepada pelajar untuk menjawab soalan dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris tidak akan mengubah kelemahan itu kerana pengajaran di sekolah dalam keadaan yang tidak sempurna. Pilihan yang diberikan itu juga membuktikan bahawa matlamat, iaitu meningkatkan kebolehan berbahasa Inggeris, tidak tercapai.

Kerajaan telah mengeluarkan belanja yang sangat besar demi mencapai cita-cita mewujudkan masyarakat yang cekap berbahasa Inggeris. Pelbagai kemudahan diberikan. Guru Matematik dan Sains diberikan kursus dari semasa ke semasa. Guru tersebut diberi insentif yang berbaloi dari segi kewangan. Mereka juga diutamakan dalam pengagihan komputer riba. Hal ini merupakan satu penghargaan kepada guru berkenaan.

Walaupun begitu, tidakkah Kementerian Pelajaran terfikir atau mengambil kira kesan lainnya? Yang saya maksudkan ialah guru mata pelajaran lain. Difahamkan guru mata pelajaran Bahasa Inggeris menikmati sedikit habuan. Bagaimana dengan guru mata pelajaran Bahasa Melayu?
Guru Bahasa Melayu menanggung beban yang sangat berat di sekolah. Mereka mengajarkan kemahiran penulisan (karangan, ringkasan, rumusan) yang menuntut banyak waktu dan tenaga untuk menyemak latihan sepanjang masa persekolahan, dan menilai kertas jawapan peperiksaan setiap kali peperiksaan diadakan. Guru Bahasa Melayu SPM, khususnya, terpaksa menyemak Kertas 1 dan Kertas 2 yang semuanya dalam bentuk penulisan. Selain itu, dalam pertandingan kokurikulum (pidato, bahas, syarahan, forum remaja, pantun, deklamasi sejak, pertandingan drama, dan sebagainya), guru bahasa Melayulah yang sering ditugaskan menjadi jurulatih atau pembimbing, penyelaras, dan juri atau hakim secara percuma. Mereka juga tidak terkecuali dalam tugasan lain di peringkat sekolah, daerah dan negeri, sama ada program perkhemahan unit uniform, aktiviti sukan dan permainan, penggubalan soalan, dan lain-lain lagi. Guru mata pelajaran lain juga meminta pertolongan guru Bahasa Melayu apabila ada program yang melibatkan penggunaan bahasa.

Dalam sistem peperiksaan SPM sekarang, sekiranya pelajar gagal dalam Bahasa Melayu, mereka dikira gagal dan tidak mendapat sijil, dan menyebabkan peratus pencapaian sekolah jatuh. Apabila hal ini berlaku, tidak dapat tidak, jari akan tertuding ke arah guru Bahasa Melayu yang tidak memperoleh apa-apa imbalan tambahan ini.

Dengan kelemahan pelaksanaan PPSMI itu, memang sudah masanya program itu dikaji semula, dan dimansuhkan sahaja. Tidak usahlah difikirkan tentang perbelanjaan besar yang sudah dikeluarkan. Semakin lama dilaksanakan, semakin tinggi belanja yang terpaksa diperuntukkan, maka semakin banyaklah kerugiaan yang terpaksa ditanggung, sedangkan hajat tidak tercapai. Pada masa yang sama, carilah kaedah lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Pemimpin di peringkat tinggi, apabila bercakap dalam majlis yang melibatkan status bahasa Melayu, sering menyatakan bahawa bahasa kebangsaan akan tetap dipertahankan dan diperkasakan. Bagaimanakah kerajaan dapat menjadikan kata-kata retorik itu kenyataan jika sekarang semakin banyak nama jabatan, gedung perniagaan dan tempat yang menggunakan bahasa Inggeris, pemimpin sering bercakap dalam bahasa Inggeris dengan wartawan dari Malaysia sendiri, dan bahasa pengantar mata pelajaran teknikal yang asalnya dalam bahasa kebangsaan ditukar kepada bahasa asing?

Pada masa sekarang, bukan sahaja bahasa Inggeris masih gagal dikuasai dengan baik oleh sebilangan besar pelajar, malahan penggunaan bahasa Melayu secara betul pula semakin membimbangkan. Kita tidak menentang penguasaan yang baik dalam bahasa Inggeris, kerana semua tahu bahawa bahasa dunia itu sangat penting. Namun, kita jangan terlupa, mutu penguasaan bahasa kebangsaan juga harus terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Kita harus segera bertindak sebelum terlajak lebih jauh. “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan”.

17 Mei 2008

INDAH DISEBUT SEMPIT DITAFSIR


NAMA dalam bahasa asing lebih indah didengar dan tersohor? Banyak contoh penggunaan nama bahasa asing untuk menamakan syarikat, bangunan, kenderaan, jabatan, dan sebagainya. Keadaan ini terjadi dalam agensi awam dan swasta.

Beberapa tahun dahulu, sebuah bank yang sangat berjasa kepada masyarakat bumiputera, khususnya orang Melayu, Bank Bumiputra, dua kali bertukar nama akibat proses penggabungan bank dan seterusnya terjadi pertukaran milik. Mula-mulanya bank itu dikenali sebagai Bumiputra Commerce Bank, dan kemudian, dinamakan pula CIMB Bank.

Yang terbaharu, pada pertengahan April lalu, Bank Pertanian pula menyusul. Sekarang nama Bank Pertanian telah berkubur walaupun buat sementara ini nama asal itu masih terpampang megah di beberapa premis bank itu. Yang wujud ialah nama baharunya, Agrobank.

Agro-, mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah “bentuk awalan asing berkaitan dengan pertanian, tanah, atau ladang”. Prof. Dr. Teo Kok Seong dalam ruangan “Surat” dalam Berita Harian, 22 April 2008 mendefinisikan agro- sebagai “tanah-tanih” dan “penghasilan tanaman”. Bagi Dr. Teo, nama baharu ini sangat sempit maknanya. “Agrobank nampaknya ingin menumpukan kegiatan perbankannya kepada pengurusan tanah-tanih untuk tujuan penghasilan tanaman. Adakah ini penampilan baru bank yang tidak lagi memberi tumpuan kepada pengurusan perusahaan ternakan?”

Beliau memberi cadangan nama yang wajar digunakan oleh bank itu. “...Barangkali nama Bank Tani sepatutnya digunakan. Nama ini ringkas dan penggunaan perkataan ‘tani’ itu selari dengan konsep lain seperti ‘masyarakat tani’, selain terus memartabatkan bahasa Melayu, adalah lebih berwibawa dari segi liputan makna daripada ‘agro’. Istilah ‘tani’ mencakupi skop lebih luas, antaranya penghasilan tanaman dan perusahaan ternakan secara sekali gus. Penggunaan nama dalam bahasa Inggeris itu sebenarnya tidak pun membawa apa-apa yang signifikan, melainkan glamor untuk tujuan penakjuban segera, dalam era yang mementingkan penggunaan bahasa Inggeris”.

Penukaran nama bank ini berbeza daripada penukaran nama Universiti Pertanian Malaysia. Nama universiti itu ditukar sesuai dengan peranan yang ditanggung oleh universiti itu tidak sahaja mengenai pertanian, tetapi mempunyai beberapa fungsi lain sekarang. Namanya yang baharu, Universiti Putra Malaysia, dianggap sesuai kerana masih mengekalkan jati diri bahasa kebangsaan dengan penggunaan perkataan putra.

Untuk memelihara kedaulatan bahasa kebangsaan, pihak berkuasa harus mengambil langkah segera mewujudkan undang-undang atau akta yang mensyaratkan penjenamaan pertubuhan, agensi, kenderaan, bangunan, premis perniagaan, dan sebagainya, hendaklah menggunakan perkataan bahasa kebangsaan. Dengan peruntukan itu nanti, Pendaftar Pertubuhan, umpamanya, tidak membenarkan mana-mana pihak membuat penamaan menggunakan bahasa yang tidak berciri kebangsaan dan yang bersifat bahasa rojak jika penamaan itu untuk kegunaan di Malaysia. Pihak berkuasa tempatan juga seharusnya tidak mengizinkan pemasangan papan tanda atau kain rentang sebarang kegunaan yang mengetepikan bahasa kebangsaan.

Datuk Seri Rais Yatim, mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (sekarang Menteri Luar Negeri), pernah menyatakan bahawa “...pembudayaan bahasa harus bermula dengan pihak berkuasa, juga dengan mereka yang duduk dalam rumah kaca.” (Berita Harian, 11 Mei 2004). Pandangannya sukar dinafikan kerana lazimnya suara dari puncak pentadbiran kerap dapat menjadi arahan yang dipatuhi tanpa banyak kerenah.

Namun, keadaan yang berlaku sekarang sebenarnya berpunca daripada pihak berkuasa berkenaan tidak mengambil peduli akan hal ini. Mereka terlalu terpengaruh dengan kepentingan penggunaan bahasa antarabangsa, dengan tidak mengambil kira kepentingan bahasa kebangsaan di dalam negara. Kita percaya bahawa wawasan peribahasa ini amat tepat: Hendak seribu daya tidak hendak seribu dalih.

Yang wajar sekali dikalungkan tahniah dan pujian ialah Kuala Lumpur Stock Exchange apabila namanya telah ditukar kepada Bursa Malaysia.

02 Mei 2008

BAHASA ANUGERAH UNTUK SESUATU BANGSA

BAHASA ciptaan yang sangat istimewa. Banyak bahasa diturunkan oleh Pencipta untuk kegunaan manusia di muka bumi ini. Dalam satu-satu bahasa utama, terdapat pula bahasa lain, dalam bentuk dialek umpamanya.

Tanpa bahasa apalah yang ada pada kita. Untuk berhubung, walaupun mempunyai alat tercanggih, perhubungan itu tidak akan bermakna tanpa bahasa. Tidak dapat tidak, kita harus berbahasa. Sehabis enggan bersuara pun, untuk berhubung, kita harus menggunakan bahasa tubuh atau bahasa isyarat, seperti mengangguk kepala tanda "ya", menggeleng tanda "tidak mahu" atau maksud lain, dan mengangkat bahu tanda "tidak tahu".

Bahasa diturunkan dengan kerangka yang berbeza daripada penurunan agama wahyu. Bahasa diturunkan selari atau sejajar dengan bangsa yang diwujudkan di dunia. Hal ini bermaksud, bahasa diturunkan kepada bangsa atau kaum. Dengan yang demikian, setiap bangsa mempunyai bahasanya yang telah ditentukan oleh Pencipta Yang Maha Kuasa. Sebab itulah, contohnya, bangsa Inggeris tidak mengamalkan bahasa Melayu, dan bangsa Jepun tidak berbahasa Perancis. Sebaliknya, agama diturunkan tidak berdasarkan kaum dan geografi, tetapi diturunkan secara umum untuk semua manusia di seluruh dunia.
Dengan penurunan bahasa mengikut bangsa itu, bahasa sebenarnya anugerah atau pemberian istimewa Allah kepada kaum berkenaan. Oleh itu, bahasa Melayu ialah anugerah Allah kepada bangsa dan keturunan Melayu. Lazimnya, sesuatu anugerah atau pemberian istimewa akan dijaga, dipelihara, dan dibanggakan oleh penerimanya. Hal ini demikian sebagai tanda penghargaan kepada pihak yang memberi anugerah itu. Bahasa akan terjaga dan tidak tersisih sekiranya sentiasa digunakan dengan betul.
Di Malaysia, bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan seperti yang dimaktubkan pada Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Undang-undang tertinggi negara ini yang digubal oleh sekumpulan orang bukan Melayu yang diketuai oleh Lord Reid pada tahun 1956, dan mula diguna pakai semenjak tahun 1957, menunjukkan kehendak Allah agar orang Melayu dan keturunannya yang menjadi golongan majoriti di negara ini melestarikan bahasa Melayu yang diturunkan itu. Peristiwa ini bukan sekadar kebetulan, kerana hal ini terjadi juga di Indonesia dan di Negara Brunei Darussalam.

Kitab Al-Quran memberi isyarat tentang pentingnya penggunaan bahasa ibunda, iaitu “...Dan kami tidak mengutus seseorang rasul kecuali dengan bahasa kaumnya supaya ia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka.” (Al-Quran: Surah Ibrahim, ayat 4). Dr. Ismail Ibrahim melalui ruangan “Cetusan Pemikiran”, (Mingguan Malaysia 2 Mei 2004), menjelaskan bahawa “bahasa kaumnya” dalam ayat ini ialah bahasa yang difahami oleh semua kaum Nabi Ibrahim, tetapi dalam konteks sekarang istilahnya ialah bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan, yang dapat difahami oleh majoriti warganegara Malaysia.

Arleena Sophia Edward, seorang kacukan Scottish (bapa) dan Portugis-Melayu (ibu), dari United Kingdom dalam “Forum” Utusan Malaysia 7 Mei 2004, berpendapat bahawa bahasa Melayu unik, dan oleh itu amat silap bagi rakyat Malaysia andainya memandang ringan kewibawaannya. Pada pandangannya, jika Thailand, Jepun, Korea, dan beberapa negara barat seperti Perancis, Jerman, Itali dan sebagainya boleh menggunakan bahasa ibunda mereka dalam pentadbiran dan kebanyakan urusan, bahasa Melayu di Malaysia juga berkemampuan. Sebenarnya negara-negara tersebut beberapa langkah di hadapan berbanding Malaysia dari segi ekonomi dan perhubungan antarabangsa walaupun menggunakan bahasa sendiri. Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah ribuan pelancong masuk ke negara berkenaan tidak henti-henti tanpa mengira musim!
Bahasa Melayu telah mencatatkan pencapaian gemilang mulai abad ke-13 kerana penggunaannya yang meluas dalam bidang perdagangan, perhubungan awam setempat, dan dalam pentadbiran negara. Francois Valentijn, pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda mengatakan bahawa bahasa kebangsaan kita ini pernah "...dituturkan di daerah pinggir laut, seluruh kepulauan Melayu dan semua negeri di timur, malah difahami sehingga Parsi, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah...". Jan Huyghen Van Linschotten, yang pernah tinggal di Indonesia (1586-1592) mencatatkan bahawa bahasa Melayu terkenal dan paling dihormati dalam kalangan bangsa di timur.

Kerajaan sendiri telah menukar panggilan bagi bahasa kebangsaan daripada bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia lebih daripada sekali semenjak negara kita menikmati kemerdekaan. Tindakan sedemikian diambil supaya bahasa kebangsaan digunakan dengan meluas oleh semua warganegara Malaysia. Sekiranya kita asyik menggunakan bahasa selain bahasa kebangsaan dengan tidak mengambil kira tempat atau keperluan, di manakah letaknya bahasa kita itu?

01 Mei 2008

DI MANAKAH BAHASA MELAYU DILAHIRKAN?



PENDAPAT popular yang dikemukakan oleh beberapa orang sarjana Barat dan diterima pakai oleh kebanyakan pengkaji bahasa ialah bahasa Melayu berasal dari Asia Tengah. Pendapat itu dikemukakan dengan berdasarkan kajian bahawa orang Melayu berasal dari Yunan, apabila dua kumpulan berhijrah ke Asia Tenggara. Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu-Proto yang berhijrah kira-kira pada tahun 2500 SM, dan kumpulan kedua ialah Melayu-Deutro yang tiba lebih kurang pada tahun 1500 SM.

Teori asal usul bahasa Melayu dikaitkan dengan kewujudan asal usul bangsa Melayu. Alasannya ialah bahawa bahasa dilahirkan oleh masyarakat penggunanya, dan pengguna bahasa itu membawa bahasanya ke mana-mana sahaja. Pendapat ini dapat dikatakan berasas kerana sekiranya orang bertutur dalam dialek Terengganu, misalnya, penuturnya sudah tentulah berasal dari Terengganu.

R.H. Geldern berpendapat bahawa bahasa Melayu berasal dari Asia Tengah bersandarkan penemuan arkeologi. Dia mendapati bahawa kapak tua (beliung batu) yang ditemukan di Sungai Brahmaputra, Sungai Irrawaddy, Sungai Salween, Sungai Yangtze, dan Sungai Hwang memiliki persamaan dengan kapak yang ditemukan di beberapa buah tempat di Asia Tenggara. Kononnya kapak itu dibawa oleh orang Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.

Sarjana lain menggunakan andaian persamaan bahasa. J.H.C. Kern mendapati bahawa perkataan yang digunakan di Nusantara terdapat juga di Madagaskar, Filipina, Taiwan, dan di beberapa buah pulau di Lautan Pasifik, antaranya padi, buluh, rotan, nyiur, pisang, pandan dan ubi. Dengan hal itu, Kern berpendapat bahawa bahasa Melayu berasal daripada satu induk yang sama yang terdapat di Asia.

W. Marsden turut menyatakan bahawa ada persamaan antara bahasa Melayu dengan bahasa Polinesia yang digunakan di beberapa buah pulau di Lautan Pasifik. E. Aymonier dan A. Cabaton pula berpendapat bahawa bahasa Campa serumpun dengan bahasa Polinesia.

Hamy menjelaskan bahawa bahasa Melayu dan bahasa Campa merupakan warisan bahasa Melayu Kontinental. W. Humboldt pula mendapati bahawa bahasa Melayu, terutama bahasa Jawa, banyak menyerap perkataan daripada bahasa Sanskrit yang berasal dari India.

Persamaan dari segi pembentukan perkataan dalam bahasa Melayu dan bahasa Polinesia menjadi kaedah kajian J.R. Foster. Dia berpendapat bahawa kedua-dua bahasa itu berasal daripada bahasa yang lebih tua, yang dinamakannya sebagai Melayu-Polinesia purba. A.H. Keane membuat kesimpulan bahawa struktur bahasa Melayu sama dengan bahasa yang terdapat di Kemboja.

Ada sarjana yang memberikan pendapat berdasarkan adat resam suku bangsa. J.R. Logan mendapati bahawa ada persamaan antara adat resam Melayu dengan adat resam suku Naga di Assam, Burma dan Tiber. Persamaan ini dikatakan berkaitan rapat dengan bahasa. Oleh sebab itu, bahasa Melayu dikatakan berasal dari Asia.

Sarjana Inggeris, J. Crawfurd, yang membuat kajian perbandingan bahasa di Sumatera, Jawa, Kalimantan, dan kawasan Polinesia, berpendapat bahawa bahasa yang tersebar di Nusantara berasal daripada bahasa yang terdapat di Jawa (bahasa Jawa) dan bahasa yang berasal dari Sumatera (bahasa Melayu). Menurutnya, bahasa Jawa dan bahasa Melayu menjadi induk bagi bahasa serumpun yang terdapat di Nusantara. Bangsa Jawa dan bangsa Melayu dianggap telah memiliki taraf kebudayaan yang tinggi pada abad ke-19. Crawfurd menyimpulkan bahawa orang Melayu tidak berasal dari mana-mana tempat lain, malah merupakan induk yang menyebarkannya ke tempat lain. Bahasa Jawa ialah bahasa tertua dan bahasa induk untuk bahasa lain.

K. Hilmy menyangkal pendapat Aymonier dan Cabaton setelah melakukan kajian perbandingan bunyi dan bentuk perkataan bahasa Campa dan pelbagai bahasa lain di Asia Tenggara. P.W. Schmidt yang mengkaji ayat dan kosa kata bahasa Campa dan bahasa Khmer-Mon sependapat dengan Hilmy apabila mengatakan bahawa bahasa Melayu yang terdapat dalam kedua-dua bahasa yang dikajinya merupakan bahasa ambilan sahaja.

Menurut Sutan Takdir Alisjahbana, semua bangsa Melayu berasal daripada rumpun bahasa yang satu. Mereka dikatakan berbeza daripada bangsa Cina di timur dan bangsa India di barat. Demikian juga pandangan Gorys Keraf melalui bukunya, Linguistik Bandingan Historis, yang menyimpulkan bahawa tanah air asal nenek moyang bangsa Austronesia ialah bahasa Indonesia dan Filipina yang dahulunya bercantum dari segi geografinya.

Darwis Harahap (1992) berpendapat bahawa ada perbezaan antara bahasa di Asia Selatan dan Asia Timur dengan bahasa di Asia Tengah. Hal ini dibuktikan melalui pengelasan kekeluargaan bahasa. Bahasa di Asia Tengah berasal daripada keluarga Sino-Tibet, yang melahirkan bahasa Cina, bahasa Siam, bahasa Tibet, bahasa Miao, bahasa Yiu, dan bahasa Burma, yang berbeza daripada keluarga Austonesia yang satu kelompok besarnya ialah Nusantara. Pendapat ini ada benarnya kerana peta bahasa menunjukkan bahawa bahasa yang dituturkan di Korea, Jepun, China, Vietnam, Laos, Kemboja, Taiwan, Hong Kong, dan Thailand berbeza daripada bahasa pertuturan di selatan Segenting Kra (Semenanjung Malaysia, Borneo, Kepulauan Indonesia, dan sebahagian Filipina), seolah-olah ada dinding tebal atau dunia lain yang langsung memisahkan kawasan tanah besar dari kepulauan Asia Tenggara.

Wan Hashim Wan Teh dan Nik Hassan Suhaimi Nik Abd. Rahman (1994) menolak pendapat bahawa bahasa dan bangsa Melayu berasal dari Yunan. Penyelidikan lebih dari 20 tahun yang dilakukan oleh Nik Hassan Suhaimi terhadap bahan tulisan dan kajian yang sedia ada tentang linguistik, budaya, dan antropologi masyarakat di Yunan menunjukkan bahawa rumpun Melayu tidak berasal dari wilayah itu. Tiada bukti yang menunjukkan wujudnya pertalian ras atau keturunan antara 26 buah kelompok minoriti yang dikaji dengan bangsa Melayu-Polinesia yang kini menetap di alam Melayu atau dunia Melayu-Polinesia. Oleh sebab itu, teori gelombang dari Yunan itu dianggap sebagai teori spekulatif.

Bernd Nothofer telah mengkaji isolek yang berasal daripada bahasa Melayik Purba yang banyak terdapat di barat Borneo. Menurutnya, penggunaan isolek yang sangat berbeza antara satu sama lain dalam kalangan orang Iban, orang Sarawak, orang Selako, dan orang Kendayan memberikan kesimpulan bahawa Borneo ialah tanah asal orang Melayu. Dua orang sarjana Barat yang lain, Robert Bust dan Alexander Adelaar, turut berpendapat demikian.

Penemuan terbaharu Nik Hassan Suhaimi (1999) ialah orang Melayu dan bumiputera bukanlah pendatang di Semenanjung Malaysia. Sebaliknya, mereka berada di situ semenjak 35 ribu tahun dahulu. Dia menolak andaian arkeologi berdasarkan kapak purba dengan menganggap bahawa artifak itu tidak pernah wujud. Oleh sebab itu, teori penghijrahan yang dicanang oleh kebanyakan sarjana Barat dianggap tidak tepat. Malah, dia mengemukakan teori evolusi yang dikenal pasti terjadi melalui perdagangan.

Dengan hal demikian, perbincangan dan kajian tentang asal usul bahasa Melayu selama ini dilakukan hanya berdasarkan asal usul bangsa Melayu. Yang menarik, ada sarjana Barat yang mengatakan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa tempatan Asia Tenggara. Teori bahawa orang Melayu berasal dari wilayah Asia Tengah dibuat berasaskan kajian yang dilakukan beberapa lama dahulu. Kajian terkini menghasilkan pendapat yang bertentangan dengan dapatan awal itu.

Pendapat Geldern, umpamanya, masih boleh disanggah. Dia membuat kajiannya bermula dari Asia Tengah, kemudian ke Nusantara. Andainya dia memulakan kajian dari Nusantara ke Asia Tengah, kesimpulannya mungkin berlainan. Lebih-lebih lagi, budaya kapak purba yang dibuat daripada batu tidak hanya terdapat di Asia Tengah dan Nusantara, malah ditemukan juga dalam masyarakat primitif di Amerika dan Eropah pada zaman itu. Dengan hal itu, adakah bangsa dan bahasa Melayu juga ada kaitannya dengan masyarakat di Amerika dan Eropah? Atau bangsa di Amerika dan Eropah itu berkemungkinan juga ada susur galur dari Asia Tengah dan Nusantara?

Menurut Ismail Hussein (1992), jumlah perkataan bahasa Melayu yang ditemukan pada batu bersurat abad ke-7 dipercayai sebanyak 50 baris sahaja, bercampur aduk dengan ayat Sanskrit. Sekiranya bahasa Melayu sudah lama dibawa dari utara, pastilah pengaruhnya lebih luas dan penggunaannya lebih besar daripada itu. Oleh sebab itu, bahasa Melayu tentulah baru terbentuk dan digunakan. Tambahan pula, jika benarlah kajian sarjana Melayu mutakhir ini bahawa bangsa dan bahasa Melayu tidak mempunyai persamaan dengan bahasa dan budaya di Asia Tengah, kemungkinan besar bahasa Melayu benar-benar terbentuk di kawasan Asia Tenggara sendiri, tidak dibawa dari kawasan luar oleh mana-mana pihak.

Namun, kita belum dapat memastikan kebenaran andaian berkenaan. Prasasti yang ditemukan pada abad ke-7 hanya dapat memastikan bahawa bahasa Melayu mula digunakan di Nusantara, tetapi tidak dapat menentukan asal usulnya. Malah, tempat mula berkembangnya bahasa Melayu pun belum dapat dikenal pasti secara tepat oleh sarjana.



SUHAIMI MOHD SALLEH
Pelita Bahasa,
Februari 2003

PENDAHULUAN: Mengapa MARTABAT3?


Bagi yang prihatian tentang asal sesuatu, tentu sepintas lalu akan terdetik pertanyaan tentang nama blog saya ini. Mengapa Martabat3?

Mengikut Kamus Dewan, martabat ialah darjat, pangkat, tingkat. Perkataan lainnya boleh sahaja status dan/atau kedudukan tinggi. Bahasa Melayu mempunyai martabat yang tinggi semenjak abad ke-13, digunakan dalam bidang perdagangan, malahan dalam hal pentadbiran rasmi oleh raja-raja Melayu apabila surat rasmi kepada pemimpin Barat menggunakan bahasa Melayu tulisan Jawi.

Bilangan atau angka 3 yang saya sertakan bersama kata Martabat untuk menunjukkan darjat bahasa Melayu pada zaman moden. Mulai tahun 1957, bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Hal ini semua orang tahu. Kemudian, bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di institusi pendidikan kerajaan (bermula di sekolah rendah hingga peringkat universiti), hasil cadangan Jawatankuasa Rahman Talib 1960. Selepas itu, kedudukan bahasa Melayu diperkuat oleh perisytiharan bahasa rasmi melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, yang memartabatkan bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa perantaraan dalam segala urusan rasmi, khususnya urusan kerajaan.

Tiga petanda penting itu sesungguhnya menjadikan bahasa Melayu bahasa yang mendapat kedudukan yang tinggi di negara yang banyak dasarnya dibuat berasaskan penghuni asal di sini. Dengan sebab yang demikian, saya memilih angka 3 itu, sesuai pula dengan slogan saya untuk blog ini, Mengangkat Jati Diri Bahasa Kebangsaan.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan ini bukan setakat untuk kegunaan seluruh warganegara Malaysia. Bahasa kebangsaan ini berfungsi pula sebagai bahasa perpaduan bagi masyarakat negara kita. Kepentingan perpaduan melalui bahasa kebangsaan ini disedari oleh kerajaan, sehingga kerajaan sanggup menukar nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.

Namun, dalam kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sebagai wadah perpaduan kaum atau rakyat, bahasa Melayu diketepikan dengan ketaranya. Banyak orang, termasuk pemimpin negara dan negeri, lebih selesa berbahasa bukan bahasa Melayu tanpa mengambil kira tempat dan masa. Banyak nama rasmi tempat dan bangunan dinamakan menggunakan bahasa Inggeris. Mata pelajaran Sains dan Matematik yang dahulunya diajarkan menggunakan bahasa Melayu, ditukar kepada bahasa Inggeris.

Melihat betapa pentingnya bahasa Melayu dipertahankan agar terus hidup sewajarnya di negara yang bertuah ini, saya mewujudkan blog ini.

Buah rambutan dibawa ke pekan,
Turut dibawa kuih baulu;
Salam perkenalan saya hulurkan,
Baru berjumpa bermesra dahulu.

Anak nelayan mengumpul ikan,
Banyaknya bilangan ikan duri;
Bahasa kebangsaan mari gunakan,
Dalam perhubungan sesama sendiri.

Harapnya laman yang kecil dan naif ini dapat memberi secubit sumbangan demi kelestarian bahasa milik kita. Kalau bukan kita sendiri yang cakna milik kita, entah sesiapa lagi yang sudi berbuat demikian.

Senarai Catatan

Laman: Martabat 3

Laman: Rimbunahu