01 Mei 2009

BAHASA DENGAN KEISTIMEWAANNYA


SEBAGAI bahasa yang dinamik, wajar bagi bahasa Melayu tidak menutup pintu terhadap pengaruh luar. Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Sanskrit, Latin, Yunani, Arab, dan Inggeris banyak membantu memantapkan korpus bahasa Melayu. Setakat ini, peminjaman kosa kata dan istilah daripada bahasa asing masih terkawal. Malah susuk ayat bahasa Melayu masih kekal dengan identiti dan budaya masyarakat kita.

Yang tidak disenangi oleh sebilangan orang dalam proses pembinaan kosa kata, umpamanya, hanyalah berkaitan dengan perkataan yang sedia ada dalam bahasa Melayu atau bahasa sukuan dan bahasa daerah. Perkataan “keadaan”, misalnya, sudah lazim digunakan dan lengkap maksudnya. Oleh yang demikian, perkataan “situasi” seharusnya tidak mendapat keutamaan.

Beberapa pihak berpendapat bahawa bahasa Melayu gagal mengungkapkan maksud yang tepat dalam banyak perkara. Sebabnya, bahasa Melayu kekurangan perkataan atau istilah yang lengkap. Bagi saya, bahasa sebenarnya merupakan kurniaan oleh Yang Maha Kuasa untuk kelompok atau kaum tertentu. Bahasa mempunyai kekuatan atau keistimewaan tersendiri, dan tidak pula terlepas daripada kekurangan tertentu.

Bahasa Melayu diturunkan kepada kepada kelompok yang menghuni alam Melayu. Sudah tentu bahasa Melayu sesuai dengan budaya alam Melayu. Keistimewaan dan kekuatannya sesuai juga dengan kehendak dan sosiobudaya di alam Melayu. Dengan itu, bahasa Melayu dapat mengungkapkan maksud yang sesuai dengan budaya pemiliknya.

Kelemahannya ialah sesuatu konsep asing tidak dapat diungkapkan atau dijelaskan dengan hanya satu atau dua patah perkataan. Namun demikian, hal itu bukan persoalan yang harus menjadi isu sehingga meremehkan keupayaan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris sebagai bahasa besar pun mengalami masalah yang serupa dalam banyak hal.
Masalah itu timbul kerana sesuatu benda atau konsep asalnya tiada dalam masyarakat atau budaya kita. Oleh itu, banyak perkataan atau istilah yang terpaksa dipinjam daripada bahasa asing. Bahasa Inggeris terpaksa juga meminjam sepenuhnya istilah “orang Utan”, “rambutan”, “durian”, dan sebagainya daripada bahasa Melayu kerana semua itu tiada dalam budayanya.
Perkataan “adik” dengan “kakak” atau “abang” dalam bahasa Melayu, contohnya, dengan jelas menunjukkan maksud perbezaan usia antara muda dengan tua. Tetapi dalam bahasa Inggeris, brother dan sister tidak dapat menggambarkan kelainan itu, dan sering kali tidak jelas atau mengelirukan, yang terpaksa diwujudkan perkataan younger dan elder sebagai perangkainya. Kekurangan pada bahasa Melayu dalam konteks ini ialah perkataan “adik”, yang tidak dapat menjelaskan jantina, dan ini memaksa kewujudan “laki-laki” dan “perempuan”.

Demikian pula halnya antara “kampung” dengan village. Dari aspek maksud, kedua-duanya sinonim. Tetapi maksud dari aspek budaya tidak semestinya sama. Konsep village tidak sesuai diterjemahkan sebagai “kampung” dalam konteks negara kita. Tidak hairanlah sekiranya terdapat penulis dari Barat yang menulis tentang Malaysia mengekalkan istilah “kampung” dalam tulisan mereka.

Saya pernah mendengar seorang ustaz membandingkan ketepatan maksud “sembahyang” dengan “solat”. Saya mengakui bahawa “solat” lebih memperlihatkan roh dan budaya agama Islam. Namun, tidak tepat rasanya menolak langsung kelaziman masyarakat kita menggunakan perkataan “sembahyang”. Islam, khususnya al-Quran dan penyebaran ajarannya diturunkan dalam masyarakat Arab di tanah Arab, maka penggunaan bahasa Arab tentulah lebih sesuai, dan digunakan “solat”. Hal ini tidak bermakna istilah lain yang dipersetujui dan difahami oleh kelompok dalam geografi dan budaya lain dengan maksud dan nilainya sama salah untuk digunakan. Persoalan akidah tidak boleh diungkitkan juga. Yang berbeza hanyalah istilah, tetapi pemahaman terhadap maksud dan matlamatnya masih sama. Dengan perkataan yang lain, “aya” dan “tongkHuruf condongol” masih ikan yang sama.

Berdasarkan fenomenon tersebut, setiap bahasa ada kekuatan dan kekurangan tertentu. Oleh yang demikian, tidak wajar kita meletakkan hukuman tegas bahawa bahasa Melayu tidak mampu mengungkapkan hal-hal ekonomi, sains, teknologi, dan pelbagai disiplin ilmu canggih lain. Seharusnya kita berusaha meninggikan tahap kemampuannya dengan cara yang wajar, seperti meneruskan penyesuaian dan peminjaman secara terkawal. Kita tidak sepatutnya mengangkat bahasa lain dan langsung mengetepikan bahasa yang dianugerahkan kepada kita, milik kita sendiri.
Daripada Pembaca,
Pelita Bahasa, Ogos 1995.

Tiada ulasan:

Senarai Catatan

Laman: Martabat 3

Laman: Rimbunahu