BAHASA Melayu dianggap sebagai bahasa yang dinamik. Tanggapan itu dibuat dengan berdasarkan keterbukaan bahasa Melayu untuk menerima kemasukan unsur bahasa lain ke dalam bahasa itu.
Menerima unsur bahasa asing, khususnya istilah, bukan kesalahan. Memang wajar bahasa Melayu menerima pakai istilah daripada bahasa lain. Hal itu terjadi demikian kerana kita tidak dapat mencipta istilah sendiri. Ketiadaan istilah baharu ciptaan sendiri ini bukan kelemahan bahasa Melayu, tetapi kekurangan yang wujud dalam masyarakat kita. Kekurangan yang saya maksudkan ialah ketiadaan penerokaan bidang baharu yang membolehkan kita mencipta istilah baharu sendiri yang sesuai dengan bidang itu. Kita hanya mengikuti dan menggunakan bidang yang diterokai tamadun lain, dan yang malangnya, bukan dari kalangan tamadun Islam.
Kita tidak mencipta apa-apa, sebaliknya kita menggunakan segala produk orang lain. Dengan yang demikian, kita tidak dapat mengetengahkan istilah atau perkataan ciptaan kita. Jika kita cuba menggantikan istilah asal daripada bahasa asing pun, kita mungkin kurang berjaya kerana isitilah ciptaan kita tidak dapat menepati maksud asal istilah asing itu. Oleh itu, mahu tidak mahu, kita terpaksa menggunakan istilah asalnya, dengan sedikit ubahsuai sekadar yang perlu mengikut dasar penterjemahan atau pengambilan istilah luar yang kita gunakan sekarang.
Keadaan ini membuka ruang yang besar bagi kemasukan istilah asing secara tidak terkawal oleh pihak yang tidak mementingkan peraturan peminjaman. Istilah asing dianggap sangat indah dan tersohor apabila digunakan. Tanggapan ini menyebabkan ada yang menamakan kumpulan mereka Bad Boys, contohnya, yang sedap disebut, tetapi maknanya tidak sesedap sebutannya. Dengan tanggapan itu juga, banyaklah istilah dari luar itu digunakan, dan menggantikan perkataan bahasa Melayu yang sedia ada, walaupun perkataan bahasa Melayu itu sudah tepat dan digunakan sekian lama.
Dalam pertandingan pidato dan perbahasan dalam kalangan pelajar sekolah, misalnya, sering digunakan perkataan konklusi. Perkataan itu sama maknanya dengan perkataan kesimpulan yang sudah lama digunakan dalam bahasa Melayu. Banyak pihak sekarang menggunakan perkataan karnival, dan ada yang menggunakan perkataan fiesta, sedangkan sebelum ini perkataan pesta sudah digunakan dengan mantapnya. Tiada yang indah pada perkataan karnival, malahan sekiranya tersilap sebut, akan terpacul perkataan karnivor, yang membawa makna lain sama sekali.
Barangkali hal ini bukannya salah pengguna atau pembawa masuk perkataan asing itu semata-mata. Banyak perkataan sedemikian dimasukkan ke dalam Kamus Dewan. Pengguna bahasa akan menganggap perkataan sedemikian sudah rasmi diterima ke dalam bahasa Melayu kerana sudah berada di dalam kamus, sedangkan kamus itu turut merakamkan banyak perkataan tidak baku. Saya difahamkan bahawa sesuatu kata yang digunakan beberapa kali akan dimasukkan ke dalam kamus itu.
Untuk mengelakkan kekeliruan tentang status sesuatu istilah asing itu sama ada sesuai untuk penggunaan rasmi atau tidak, saya mengemukakan tiga cadangan. Pertama, diberi nota atau catatan bahasa perkataan pinjaman itu sesuai untuk lisan atau baku. Sebaik-baiknya perkataan yang sudah ada dalam bahasa Melayu, tidak perlu lagi diterima perkataan asing sebagai variasi untuknya. Kedua, perkataan daripada bahasa asing yang tidak popular atau tidak digunakan langsung dalam bahasa Melayu, contohnya perkataan daripada bahasa Indonesia, pilon, imlek, buron, dan sebagainya, dikeluarkan sahaja daripada kamus bahasa Melayu. Ketiga, saya mencadangkan diwujudkan kamus baku yang setaraf Kamus Dewan. Oleh sebab kita sudah mempunyai Kamus Pelajar Bahasa Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang memuatkan kata masukan yang baku sahaja, lebih baik kamus itu dinaikkan tarafnya. Kita tidak memerlukan banyak kamus yang tidak dapat membantu kelestarian bahasa Melayu yang bermutu.
Penggunaan bahasa rojak, iaitu campuran frasa atau klausa bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam satu ayat semakin berleluasa. Pengguna bahasa yang prihatin wajar mengelakkan bahasa rojak yang merosakkan keharmonian bahasa kita yang indah ini.