Kata

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Kandungan halaman ini:

  • Kata Klitik Perlu Bercantum dengan Kata Dasar
  • Menggunakan Kata Secara Betul

> MENGENALI KATA KERJA TRANSITIF <

KATA kerja ialah sejumlah perkataan yang digunakan untuk menunjukkan perbuatan. Kata kerja transitif ialah perkataan yang digunakan dalam binaan ayat transitif. Kata kerja jenis ini perlu diikuti oleh kata nama atau frasa nama, yang dikenali sebagai objek. Binaan ayat transitif berkenaan dianggap salah sekiranya kata kerja berkenaan tidak diikuti secara langsung oleh objek.

Bagaimanakah cara untuk mengenal pasti kata kerja transitif? Menurut Abdullah Hassan & Ainon Mohd dalam buku Tatabahasa Dinamika, cara yang mudah adalah dengan cara menanyakan “apa”. Sekiranya ada jawapannya, kata kerja yang digunakan itu ialah kata kerja transitif. Contohnya:
  • Menaiki apa? - Menaiki bas.
  • Memasak apa? - Memasak bubur.
Perkataan bas dan bubur ialah penyambut perbuatan, atau objek.

Dengan hal yang demikian, kata kerja transitif ialah perbuatan yang dilakukan kepada sesuatu yang lain. Sesuatu yang lain itu ialah objek. Oleh itu, objek ialah “mangsa” perbuatan, atau sesuatu yang terkena perbuatan orang lain.

Ayat yang gramatis (tepat atau baku) ialah:
  • Shaari menaiki bas.
  • Ibu gemar memasak bubur.
Oleh itu, ayat yang berikut adalah salah:
  • *Shaari menaiki.
  • *Ibu gemar memasak.
Satu lagi kaedah untuk mengenali kata kerja transitif adalah dengan cara menukarnya kepada bentuk pasif. Kata kerja transitif membawa dan tersandung misalnya masing-masing dapat dipasifkan menjadi dibawa (oleh) dan tersandung oleh. Contohnya dalam ayat:
  • Emak membawa adik ke perpustakaan.        - Ayat transitif
  • Adik dibawa oleh emak ke perpustakaan.     - Ayat pasif
  • Kaki datuk tersandung akar.                           - Ayat transitif
  • Akar tersandung oleh kaki datuk.                   - Ayat pasif
Terdapat kata kerja yang tidak perlu diikuti oleh objek. Kata kerja jenis ini dipanggil kata kerja tak transitif. Kata kerja ini ialah perbuatan yang tidak dilakukan kepada orang atau benda lain. Kata kerja jenis ini tidak dapat dipasifkan.


Suara Bahasa, Bil 1/05: 9 Januari 2005,
Panitia Bahasa Melayu & Pusat Sumber Sekolah,

SMK Sultan Omar, Dungun, Terengganu.


 _________________________________


> KATA KLITIK PERLU BERCANTUM DENGAN KATA DASAR <

KATA klitik ialah istilah yang digunakan untuk ganti nama singkat. Bentuk ini sering digunakan oleh pengguna bahasa berdasarkan keperluan budaya. Bentuk yang lazim digunakan ialah kau-, -mu, -ku, dan -nya.

Bentuk singkat ini tidak boleh berdiri sendiri sebagai perkataan. Oleh itu, ganti nama ini perlu dicantumkan pada kata dasar yang mendahului atau mengikutinya.

  • kaubaca
  • kausambut
  • kucari
  • kutulis
  • adikku
  • kepunyaanku
  • keperluanmu
  • laporanmu
  • bukunya
Oleh itu, bentuk yang berikut adalah tidak betul:

  • *kau baca
  • *kau sambut
  • *ku cari
  • *ku tulis
  • *adik ku
  • *kepunyaan ku
  • *keperluan mu
  • *laporan mu
  • *buku nya

Suara Bahasa, Bil 1/05: 9 Januari 2005,
Panitia Bahasa Melayu & Pusat Sumber Sekolah,

SMK Sultan Omar, Dungun, Terengganu.


_______________________________________


> MENGGUNAKAN KATA SECARA BETUL <



GAMBAR yang tertera di atas merupakan sebahagian daripada papan peringatan yang diletakkan di beberapa buah taman permainan yang diselenggarakan oleh Majlis Perbandaran Dungun, di Terengganu. Maklumat yang hendak disampaikan adalah jelas. Pengunjung dapat memahaminya walaupun ada yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Namun demikian, penggunaan bahasa pada bahagian tertentu didapati ada kesilapan dari segi ejaan dan tatabahasa.


Kita analisis kesilapan tersebut dan cuba memperbetul semua kesilapan itu satu persatu demi kepentingan bahasa kita.


1. Kesalahan dari segi penggunaan imbuhan.


Perkataan yang mengalami kesilapan penggunaan imbuhan ialah perkataan merosakan yang ditulis pada bahagian bawah ikon paling kiri. Perkataan tersebut dibentuk daripada kata dasar rosak yang diberi imbuhan me-...-an. Pihak berkenaan rupa-rupanya tidak mengetahui bahawa tiada imbuhan me-...-an dalam bahasa Melayu. Yang ada ialah me-...-kan. Oleh itu, huruf k mestilah ada dua, iaitu satu untuk akhir perkataan rosak, dan satu lagi untuk imbuhan -kan yang mengikuti perkataan itu. Dengan hal yang demikian, perkataan itu seharusnya dieja sebagai merosakkan. Terdapat satu lagi perkataan ini pada bahagian bawah ikon paling kanan, tetapi dieja secara betul. Hal ini menunjukkan bahawa pengguna tidak memahami penggunaan imbuhan tersebut.




2. Kesalahan dari segi ejaan.

Perkataan yang salah ejaannya ialah perkataan kebawah yang terdapat pada hujung baris kedua di bawah tajuk "Nota". Perkataan itu sebenarnya terdiri daripada dua unsur, iaitu ke dan bawah. Oleh sebab ke bukan imbuhan, tetapi kata sendi nama, maka ke harus direnggangkan atau dijarakkan daripada perkataan bawah, menjadi ke bawah. Keadaan ini sebenarnya sama seperti perkataan di sini yang dieja secara betul pada hujung baris selepasnya.



3. Kesalahan dari segi frasa.

Ejaan frasa di atas betul. Frasa ini betul jika digunakan untuk menunjukkan maksud “sesuatu yang letaknya di bahagian atas (sesuatu yang lain)” seperti di atas meja. Malangnya, frasa di atas dalam ayat ini tidak bermaksud demikian. Hal ini dikatakan demikian kerana perkataan penggunaan yang mengikuti frasa itu bukan "benda yang ada arah atau ruang atas", dan perkataan atas itu sendiri tidak berperanan sebagai "arah". Oleh itu, kata sendi nama di tidak diperlukan; memadai dengan penggunaan kata atas sahaja, menjadi “...risiko atas penggunaan...”.




4. Kesalahan dari segi penggunaan perkataan.


Perkataan adalah merupakan kata pemeri, yang sesuai digunakan sebelum kata adjektif (berkenaan sifat sesuatu) dan frasa sendi nama sahaja. Dalam ayat ini, perkataan yang mengikuti kata pemeri itu ialah tanggungan. Perkataan ini ialah kata nama, yang tidak sesuai digunakan dengan adalah. Sekiranya kita ingin mengekalkan penggunaan adalah, lebih sesuai kita tambahkan perkataan dalam selepas kata itu, menjadi “...adalah dalam tanggungan pengguna...” Hal ini perlu sedemikian kerana perkataan dalam dapat berfungsi sebagai kata sendi nama. Cara lain yang betul, sekiranya tidak mahu menambahkan perkataan dalam, adalah dengan cara membuang perkataan adalah itu.


Diharapkan agar kesilapan tersebut tidak diikuti oleh anak-anak yang baru atau sedang belajar untuk menggunakan bahasa secara betul. Marilah kita menggunakan bahasa kebangsaan kita dengan sebaiknya.

Senarai Catatan

Laman: Martabat 3

Laman: Rimbunahu