06 Mei 2011

KELEBIHAN & KEKURANGAN BAHASA?

APABILA berbicara tentang bahasa, timbul tanggapan kononnya bahasa-bahasa di dunia ini mempunyai perbezaaan kualiti. Mengikut tanggapan ini, ada bahasa yang bermutu, dan ada bahasa yang kurang bermutu. Bahasa yang bermutu dikatakan bahasa yang diterima atau digunakan dengan meluasnya. Sebaliknya, bahasa yang kurang bermutu dianggap terdiri daripada bahasa yang kurang mendapat perhatian. Dengan hal yang demikianlah maka banyak pihak yang memandang tinggi kepada bahasa Inggeris, kerana bahasa itu telah dianggap sebagai bahasa antarabangsa yang tinggi nilainya, oleh sebab bahasa itu dapat mengungkapkan pelbagai laras.


Berdasarkan etika kajian tentang bahasa, pengkaji tidak boleh membuat pernyataan bahawa suatu bahasa itu lebih baik atau sebaliknya dengan bahasa lain. Hal ini demikian kerana bahasa bukan sahaja ciri budaya bagi sesuatu masyarakat, tetapi juga suatu sains yang berkait sangat rapat dengan tingkah laku masyarakat itu.


Oleh itu, lebih adil bagi kita untuk mengatakan bahawa setiap bahasa mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Bahasa berfungsi untuk mengungkapkan makna mengikut keperluan masyarakat masing-masing. Contohnya, dalam bahasa Melayu, perkataan “abang” atau “kakak” dan “adik” dengan jelas menunjukkan perbezaan usia. Namun demikian, dalam bahasa Inggeris, “brother” dan “sister” tidak dapat menjelaskan perbezaan itu, yang menyebabkan bahasa Inggeris menggunakan kata penerang “younger” dan “elder”. Sebaliknya, perkataan “ayam” dalam bahasa Melayu tidak dapat menjelaskan jantina binatang itu, yang menyebabkan wujudnya “jantan” dan “betina”, sedangkan dalam bahasa Inggeris, kejantinaan “ayam” sangat jelas dengan penggunaan “hen” (ayam betina), “cock” atau “rooster” (ayam jantan).


Perbezaan tersebut tidak menunjukkan mutu bahasa Melayu lebih rendah berbanding dengan bahasa Inggeris, atau sebaliknya. Keadaan itu berkait dengan budaya dalam masyarakat yang mengamalkan bahasa berkenaan. Hal yang sedemikian bukan hal besar dalam penggunaan bahasa. Bahasa akan menjadi kuat, bermutu dan terkenal atau tersebar luas sekiranya pengguna dapat menggunakan bahasanya dengan berkesan. Pengguna sepatutnya berbahasa dengan betul, dan mengelakkan sebarang hal yang menyebabkan wujudnya kecelaruan bahasa.
.

Tiada ulasan:

Senarai Catatan

Laman: Martabat 3

Laman: Rimbunahu