06 Jun 2011

BERBICARA DENGAN SOPAN

BERBUDI bahasa bermaksud berbahasa dan bertingkah laku dengan sopan. Pada masa dahulu, budi bahasa menjadi syarat atau kriteria penting dalam pemilihan sesuatu, termasuk dalam hal memilih menantu, kerana berbudi bahasa menjadi lambang positif dan ketulusan seseorang.

Manifestasi kepentingan budi bahasa terlihat dalam penggunaan frasa yang dikenali sebagai kesantunan berbahasa. Misalnya, frasa “buang air” digunakan untuk menggantikan perkataan “berak” atau “kencing” sebagai tanda kehalusan. Penggunaan bentuk ‘berlapik’ tersebut dapat mengelakkan rasa tersinggung dan jijik. Demikian juga rangkai kata “meninggal dunia” atau “pulang ke rahmatullah” digunakan bagi menggantikan “mati”. Perempuan yang sedang mengandung juga diberi perkataan lain, “berbadan dua”, sedangkan perkataan “mengandung” itu tidaklah kasar atau memalukan seseorang sekiranya hal itu terjadi dengan keadaan yang sepatutnya.

Nenek moyang kita dahulu mencipta peribahasa untuk tujuan yang sama. Peribahasa dapat melembutkan bicara walaupun maknanya kadang-kadang keras. Contohnya, “melepaskan anjing tersepit” ditujukan kepada orang yang tidak mengenang jasa orang yang pernah menolongnya. Selain itu, “kaki bangku” dikiaskan kepada seseorang yang tidak tahu bermain bola. Sekiranya hal itu dikatakan terus-terang kepada orang itu, pasti dia akan malu dan marah.

Oleh sebab itu, kita hendaklah sentiasa berbahasa dengan sopan. Secara amnya, kebanyakan kita sudah tersasar daripada budi bahasa. Apabila bercakap, segelintir remaja, kebanyakannya pelajar, gemar menggunakan perkataan “bodoh” dan “gila” kepada rakan. Walaupun penggunaan perkataan sedemikian sudah biasa bagi pihak tersebut, dan masing-masing tidak ambil hati, penggunaan tersebut tidak wajar diamalkan. Hal yang demikianlah memaksa kerajaan menjalankan Kempen Berbudi Bahasa dan Nilai Murni pada tahun 2005.

Tiada ulasan:

Senarai Catatan

Laman: Martabat 3

Laman: Rimbunahu