17 Disember 2008

PERCEPAT KEPUTUSAN TENTANG PPSMI

SAYA menonton berita siaran TV1 RTM pada pukul 7.00 pagi tadi. Selain berita tentang serangan lebah ke atas tiga orang remaja yang sedang memancing ikan di sungai yang menyebabkan seorang daripada mereka lemas kerana terjun ke dalam air untuk menyelamatkan diri, satu berita lain yang selalu saya tunggu, tentang PPSMI, turut disiarkan. Kali ini, Timbalan Menteri, Datuk Wee Kar Siong membuat kenyataan.
Ayat terakhir yang diungkapkan beliau dalam temu bual yang disiarkan ialah "...PPSMI akan berjalan seperti biasa pada tahun depan." Saya tidak terkejut, kerana dalam artikel saya sebelum ini, saya sudah mengatakan PPSMI menang. Namun, saya berharap penerusan itu bersifat sementara. Saya katakan demikian kerana pihak Kementerian Pelajaran dan pihak lain yang memberi pendapat melalui persidangan meja bulat sebelum ini belum bertemu untuk membincangkan hal ini dengan lebih lanjut.
Setakat ini tiada petunjuk jelas bahawa PPSMI akan ditamatkan, sekurang-kurangnya untuk tahun 2009 ini. Jika PPSMI hendak ditamatkan, buku teks mata pelajaran Sains dan Matematik perlu ditukar kepada bahasa Melayu/bahasa Malaysia. Penterjemahan dan urusan cetakan buku baharu itu tentu mengambil masa yang panjang.
Saya berpendapat bahawa keputusan tentang program PPSMI ini perlu dibuat dengan segera. Pihak berwajib tidak wajar berdalih atau melambat-lambatkan hal yang penting ini. Penerusan sementara itu (jika betul sementara) akan menyebabkan kesukaran lain, kerana pemberhentian yang serta-merta di tengah-tengah musim persekolahan pasti menimbulkan masalah pengurusan, bukan sahaja di peringkat kementerian dan jabatan pelajaran, tetapi lebih merumitkan urusan di sekolah.
Harapan saya dan semua pihak yang memperjuangkan agar Sains dan Matematik kembali ke dalam bahasa kebangsaan, buatlah keputusan yang bersifat menang-menang. Selewat-lewatnya, peralihan kuasa pentadbiran negara pada bulan Mac nanti diharapkan dapat memberi sinar cemerlang. Kita tidak wajar mengorbankan sesuatu yang baik kerana mengingini sesuatu yang lain, sebaliknya kita perlu menambah sesuatu yang lain tetapi mengekalkan sesuatu yang baik yang sedia ada.
Hal yang perlu kita ingat ialah bahasa Melayu telah ditukar nama kepada bahasa Malaysia dalam semua aspek. Apabila sebut "bahasa Malaysia", secara automatik bahasa itu menjadi milik semua warga Malaysia. Oleh itu, bahasa itu patut menjadi keutamaan dalam semua urusan rasmi harian setiap warganegara.
Dalam budaya Melayu, penukaran nama seseorang anak secara dibuat secara tidak rasmi (tidak tukar dalam kad pengenalan atau sijil beranak) oleh ibu bapa kerana pemilik nama itu ada penyakit/masalah. Dengan penukaran nama itu, keadaan diharapkan akan berubah, dan pemilik nama itu menjadi lebih baik. Dalam banyak cerita yang saya dengar, penukaran itu berhasil. Dalam hal penukaran nama bahasa ini juga saya berharap dapat menghasilkan natijah yang positif, iaitu penggunaan bahasa kebangsaan lebih diutamakan dan meluas. Sekiranya keadaan tidak berubah, atau kesannya semakin teruk, lebih elok nama lama digunakan semula.

2 ulasan:

ALI MAIDIN berkata...

http://isubahasamelayu.blogspot.com/

lanzbo Wedding Photographer berkata...

lawati websites saya :

htp://medic-brain.blogspot.com

atau

http://tinyurl.com/yahde

jana lah pendapatan anda RM800 seminggu
meskipun part time je.

Tak percaya…
Sila lihat di websites saya dulu

Senarai Catatan

Laman: Martabat 3

Laman: Rimbunahu