13 Disember 2008

WAJIBKAN MATA PELAJARAN BAHASA MELAYU PADA PERINGKAT SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA DAN PERINGKAT UNIVERSITI AWAM

MATA pelajaran Bahasa Melayu (BM), kini mahu dikenali sebagai Bahasa Malaysia, telah diberikan kedudukan yang sangat tinggi dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Setiap orang calon peperiksaan itu harus belajar dan menduduki mata pelajaran tersebut. Calon pula perlu lulus mata pelajaran itu untuk membolehkannya memperoleh sijil. Hal ini bermakna bahawa sekiranya calon gagal mata pelajaran itu, walaupun mendapat pangkat 1A dalam semua mata pelajaran lain, calon itu tidak akan diberikan sijil. Tahniah kepada Pusat Perkembangan Kurikulum dan Lembaga Peperiksaan Malaysia atas keprihatinan yang sangat baik terhadap mata pelajaran BM.

Namun begitu, di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), hal yang sama tidak diperkasa. Pelajar aliran Sains didapati tidak mempelajari mata pelajaran itu, dan sudah tentu tidak mendudukinya dalam peperiksaan itu. Demikian juga apabila pelajar memasuki pusat pengajian tinggi, termasuk institusi pengajian tinggi awam, pelajar tidak diwajibkan mengambil mata pelajaran dan kursus BM.

Demi kesinambungan hal yang telah dilaksanakan pada peringkat SPM, dan demi menjaga taraf BM sebagai bahasa kebangsaan, termaktub pula dalam Perlembagaan, yang semestinya dipatuhi, mata pelajaran BM wajar dipelajari dan diduduki oleh semua pelajar STPM dan pusat pengajian tinggi awam. Mereka juga sewajarnya disyaratkan lulus mata pelajaran itu untuk membolehkan mereka diterima masuk ke universiti awam, dan di peringkat universiti pula, mereka perlu disyaratkan lulus mata pelajaran itu untuk membolehkan mereka mendapat diploma atau ijazah. Syarat yang sama juga patut dikenakan kepada pelajar asing juga yang menuntut di universiti awam di Malaysia. Peraturan sedemikian tidak asing kerana kerajaan telah memperkenalkan kaedah yang sama bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris. Setiap pelajar yang memasuki universiti awam diwajibkan lulus kertas Malaysian University English Test (MUET) untuk membolehkan siswa memperoleh ijazah.

Dengan cara demikian, bahasa Melayu akan berkembang dengan lebih cemerlang di Malaysia, dan kemungkinan tersebar juga ke negara lain. Syarat itu juga dapat melatih pelajar dan warganegara Malaysia menggunakan bahasa kebangsaan dengan sistem ejaan dan tatabahasa yang betul dalam lisan dan tulisan. Hasilnya, tidaklah timbul kesalahan bahasa seperti yang lazim terdapat dalam penulisan dalam akhbar, majalah, surat, papan tanda, dan sebagainya.

Mata pelajaran BM pada peringkat STPM tidaklah terlalu sukar. Pelajar atau calon STPM hanya belajar sedikit tentang sejarah dan perkembangan bahasa Melayu, penggunaan bahasa itu dalam masyarakat, penghasilan bunyi bahasa, serta tentang semantik atau makna. Topik yang sangat penting dalam mata pelajaran ini ialah tatabahasa. Pelajar yang sudah belajar bahasa Melayu STPM tidak menghadapi masalah ketika di universiti kerana sukatan pelajaran BM pada peringkat itu juga tidak jauh bezanya dengan sukatan pelajaran STPM.

Oleh hal yang demikian, pelajar aliran Sains, yang pastinya pintar, tidak menghadapi masalah untuk lulus dengan pangkat cemerlang dalam mata pelajaran ini. Secara tidak langsung, pelajar Melayu akan membaiki penggunaan bahasa ibunda mereka, dan pelajar bukan Melayu pula dapat memperkemas penguasaan bahasa kebangsaan.

SuhaimiMohdSalleh

Tiada ulasan:

Senarai Catatan

Laman: Martabat 3

Laman: Rimbunahu