28 Januari 2012

MELAYU TIDAK BANGGA DENGAN BAHASA MELAYU?

PENSYARAH Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah melahirkan rasa sedihnya kerana orang Melayu tidak berbangga mendapat pelbagai keistimewaan, termasuk tentang bahasa Melayu yang diberi status tinggi melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Beliau yang berketurunan Cina sangat hairan akan sikap segelintir orang Melayu yang tidak bersetuju apabila kerajaan mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke dalam bahasa Melayu, sebaliknya mahu pengajaran dalam bahasa Inggeris diteruskan. Hal ini, menurutnya, bertentangan dengan sikap kebanyakan orang Cina yang sejak awal ura-ura pengenalan PPSMI hinggalah dasar itu dimansuhkan, tetap mahukan pengajaran kedua-dua mata pelajaran itu dijalankan dengan menggunakan bahasa ibunda mereka.

Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee berkata demikian dalam Ceramah Perdana yang bertajuk, "Nasib Melayu di Bumi Melayu" di Dewan Terbuka Padang Merdeka, Dungun pada petang hari Khamis, 26 Januari 2012 lepas. Tajuk itu sebenarnya ialah judul bukunya yang diterbitkan dua tahun lepas.
 
Menurutnya lagi, walaupun beliau berketurunan Cina, beliau gembira menjadi Melayu mengikut tafsiran Perkara 160 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa orang Melayu ialah orang yang memeluk agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, dan mengamalkan adat istiadat orang Melayu. Beliau yang beragama Islam mendapat pelbagai cemuhan kerana selalu memihak kepada orang Melayu.

Senarai Catatan

Laman: Martabat 3

Laman: Rimbunahu