18 Julai 2009

PAHAT PPSMI MASIH BERBUNYI

HAL PPSMI belum berakhir walaupun Kementerian Pelajaran sudah memuktamadkan bahawa program itu akan dimansuhkan pada tahun 2012. Setelah perjuangan golongan yang memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berjaya, dan mendapat sokongan, tidak kurang jumlah yang membantah keputusan kerajaan itu.

Perhatikan antara pendapat yang membantah pemansuhan PPSMI yang dikutip daripada ruangan KOMEN BH melalui SMS pada minggu lalu.
  • ...anak-anak Melayu akan dipandang teruk. PPSMI tak patut dihapuskan. Percayalah berikan anak-anak belajar BI akan menjadi anak-anak yang berilmu global... – (FEROLA)
  • Pembatalan PPSMI satu langkah kurang bijak. Perlu berani menerima cabaran. Produk program tidak akan datang sekelip mata. Perlu masa untuk melihat kemajuan ... (GURUMELAYUTESL)
  • Kaum lain belajar BI ok saja. Tapi apabila kaum Melayu disuruh belajar BI, sibuk cari alasan tak mau belajar. Kononnya hilang jati dirilah. – (AMR92)
  • PPSMI tak perlu dimansuhkan. Cara ini langsung tak berkesan kerana pengajaran di peringkat tinggi juga dalam BI. Kenapa mahu membebankan pelajar yang menuntut. Jangan jadikan kami mangsa! – (ARYKASYA)

Yang berikut pula antara pendapat daripada pihak yang menyokong pemansuhan tersebut.

  • Kepada yang menentang pemansuhan PPSMI, fahamilah bahawa yang sakit tenat adalah subjek Bahasa Ingeris, oleh itu guru Bahasa Inggeris adalah orang yang pakar untuk memulihkannya... – (YAYA09)
  • Apa nak dipertikaikan lagi pemansuhan PPSMI, sepatutnya kita fikirkan strategi untuk penambahbaikan dan meningkatkan penggunaan BI dan BM... – (ODAH58)
  • Terima kasih kepada kerajaan kerana memansuhkan PPSMI. Tapi mengapa harus tunggu 2012? Sepatutnya 2010. Dulu PPSMI diumumkan, terus dilaksanakan tanpa kajian. – (JGNDOKLOGLAQ)

Pemansuhan itu sebenarnya memberi banyak kebaikan daripada keburukan kepada anak bangsa. Kegagalan program itu, seperti fakta yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, disebabkan program itu bukan kaedah yang betul. Bukan semua pelajar mampu mengikutinya dalam bahasa Inggeris. Kalau sekolah di bandar, kemungkinan ramai pelajar yang dapat menguasainya, tetapi bagi sekolah di luar bandar, dapat dihitung dengan jari pelajar yang dapat berbuat demikian. Masalah yang timbul ialah mereka bukan hendak belajar bahasa Inggeris, tetapi mahu belajar Sains dan Matematik.

Ramai sekali pemimpin politik dan pemimpin negara serta yang telah berjaya dalam pelbagai bidang, datangnya daripada pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan. Kebanyakan mereka menguasai bahasa Inggeris apabila berada di universiti, walaupun di universiti itu sendiri pengajarannya dalam bahasa Melayu.

Dalam beberapa persidangan, apabila ditanya tentang bahasa, mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir, orang yang memperkenalkan PPSMI, kerap menyebut bahawa ilmu lebih mudah diperoleh daripada bahasa yang menjadi sumber ilmu itu. Maksudnya, untuk memperoleh ilmu daripada tamadun Barat, kita harus mengambilnya melalui bahasa tamadun tersebut. Beliau selalu memberi contoh bahawa orang Barat mendapat ilmu daripada tamadun Arab dan Islam. Menurutnya, untuk mendapat ilmu itu, orang Barat membuat rujukan daripada bahan yang menggunakan bahasa Arab.

Pendapat Tun Dr. Mahathir itu betul, tetapi tidak sepenuhnya. Pada awalnya, memanglah cendekiawan Barat mengambil ilmu orang Arab dan Islam itu daripada bahasa Arab, kerana mereka merujuk buku yang menggunakan bahasa Arab. Namun, hakikatnya beberapa orang cendekia itu sahaja yang berbuat begitu. Mereka menterjemahkan dapatan mereka ke dalam bahasa Inggeris atau bahasa Barat lain, dan digunakan oleh warga masing-masing. Oleh itu, masyarakat Barat sebenarnya membuat rujukan dalam bahasa mereka sendiri. Berapa ramaikah orang Barat yang dapat membaca dalam bahasa Arab?

Dengan hal yang demikian, ilmu lebih mudah diperoleh dengan menggunakan bahasa sendiri, kerana pemilik bahasa akan lebih memahami hal ehwal bahasanya. Jelasnya, bahasa Inggeris hanyalah sumber ilmu utama, tetapi ilmu dapat diperoleh juga melalui bahasa sendiri sekiranya ilmu itu diterjemah ke dalam bahasa sendiri. Di sinilah Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka memainkan peranan yang penting. Kedua-dua badan itu pula seharusnya mendapat kerjasama daripada cendekiawan yang ramai di universiti dan pusat-pusat penyelidikan untuk menterjemah bahan daripada bahasa asing serta menghasilkan bahan dalam bahasa Melayu.

Di samping menggunakan bahasa Melayu untuk menimba ilmu, seharusnya bahasa Inggeris dikuasai untuk menambah pengetahuan dan dapat berhubung dengan warga dari luar negara dengan berkesan. Untuk menguasai bahasa Inggeris inilah kita harus belajar bahasa Inggeris. Didapati ramai pelajar kita yang belajar di luar negara dapat menguasai bahasa negara berkenaan hanya dalam beberapa ketika walaupun di negara sendiri mereka lebih terdedah kepada penggunaan bahasa Melayu.

Untuk menjadi baik, kita harus berada dalam kalangan orang baik. Oleh itu, untuk menguasai bahasa Arab, kita patut berada dalam kalangan orang Arab, dan bercakap dengan menggunakan bahasa Arab. Demikian juga halnya dengan bahasa Inggeris. Pelajar di sekolah-sekolah bandar yang fasih berbahasa Inggeris kebanyakannya datang daripada keluarga yang tidak lekang daripada menggunakan bahasa itu dalam perhubungan seharian mereka. Itulah kelebihan mereka. Namun, adakah mereka juga menggunakan bahasa Melayu dengan betul? Jika demikian, alhamdulillah. Jika sebaliknya, itulah yang ditakuti tentang PPSMI ini!

.

09 Julai 2009

PEMANSUHAN PPSMI: TERIMA KASIH, KERAJAAN



PADA awal petang 8 Julai 2009 lalu, berita yang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak, khususnya pencinta bahasa Melayu, tiba kepada kita. Alhamdulillah, akhirnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah dimansuhkan, diumumkan sendiri oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan penjelasan yang dibuat oleh YB Menteri Pelajaran, nyatalah bahawa kelemahan yang didedahkan oleh pihak universiti yang membuat kajian dan pejuang bahasa Melayu selama ini amat berasas. Dengan itu, jelas bahawa pelaksanaan PPSMI tidak terlaksana dengan baik, menyusahkan golongan yang tidak dapat berbahasa Inggeris dan pelajar di pedalaman, malahan merugikan bangsa dan negara pada masa akan datang.

Keputusan kerajaan tersebut sangat tepat dan bijak, dan harus diberikan tahniah. Kerajaan ternyata telah berusaha untuk merealisasikan konsep yang dibawa, “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”. Terdapat pihak atau individu menganggap keputusan itu merugikan dan membazir kerana telah banyak wang dikeluarkan untuk melaksanakan PPSMI dari segi penerbitan buku teks, pembinaan perisian interaktif, penyediaan laptop dan penayang (LCD)kepada sekolah, dan bayaran imbuhan 5% daripada gaji kepada guru. Sebenarnya pembaziran atau kerugian tidak terjadi, kerana segala peruntukan itu telah menguntungkan banyak pihak, seperti industri buku negara, kemudahan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada sekolah, dan insentif kepada guru berkenaan. Laptop dan cakera padat perisian masih boleh digunakan. Namun, jika pemansuhan dibuat lebih lambat, kerugian dan pembaziran sudah tentu lebih besar. Kerugian yang besar ialah semakin ramai pelajar tercicir kerana gagal memahami pelajaran.

Pemansuhan itu bermula pada tahun 2012. Tempoh tersebut dikira sesuai sekiranya mengambil kira penyiapan buku teks dan pembinaan perisian baharu yang pastinya memerlukan masa yang panjang. Namun demikian, buku teks dan perisian yang ada sekarang tidak menghalang pengajaran dalam bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya. Kenyataan Menteri Pelajaran sendiri yang menyebut bahawa hanya 53 hingga 58 peratus masa untuk PPSMI menggunakan bahasa Inggeris, menunjukkan bahawa banyak masa pengajaran guru menggunakan bahasa Melayu. Hal ini bermakna bahawa pemansuhan itu sudah boleh dimulakan selewat-lewatnya pada sesi persekolahan pada tahun hadapan (2010), jikapun bukan pada tahun ini. Oleh itu, Kementerian Pelajaran perlu membuat perubahan dengan mempercapat tempoh pelaksanaan pemansuhan itu.

Tindakan kerajaan membuat pilihan lain sebagai ganti kepada PPSMI untuk memastikan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, iaitu menambah waktu pengajaran dan penyediaan guru yang berkualiti, merupakan tindakan yang tepat. Hal ini telah dicadangkan oleh banyak pihak yang meminta agar pemansuhan itu dibuat. Tindakan ini dengan sendirinya tidak merugikan penggunaan bahasa Melayu dan tidak mengabaikan keperluan untuk menguasai bahasa Inggeris.
.
Sekali lagi tahniah kepada kerajaan. Pemansuhan ini bukan kemenangan kepada pihak yang membantah PPSMI, atau hasil daripada tindakan pembangkang menunjuk perasaan dan menghantar memorandum, tetapi kejayaan kepada masa hadapan seluruh pelajar, dan sekali gus membuktikan dan kematangan pemikiran pimpinan negara sekarang.
.

Senarai Catatan

Laman: Martabat 3

Laman: Rimbunahu