16 November 2008

PPSMI Mungkin Menang

SEBELUM Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 dijalankan lagi, saya sudah menjangka bahawa keputusan ujian itu akan berpihak kepada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sehari sebelum keputusan UPSR diumumkan pada 13 November 2008 itu, menteri yang bertanggungjawab telah membuat bayangan bahawa PPSMI tidak bersalah, dan tidak perlu dihentikan.
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd Dom, selepas keputusan diumumkan, berkata bahawa 159,234 orang calon (31.1%) daripada 511,875 sampel yang digunakan telah mengambil UPSR dalam bahasa Inggeris sepenuhnya bagi mata pelajaran Sains. Menteri Pelajaran pula membuat kesimpulan bahawa keputusan di bawah PPSMI memuaskan dan tidak menjejaskan prestasi pelajar, walaupun terdapat penurunan pelajar yang memperoleh 5A. Menurut beliau lagi, keputusan itu menafikan tuduhan liar yang penuh emosi yang dibuat oleh beberapa pihak sebelum ini (Utusan Malaysia, 14 November 2008 - hlm. 3).
Keputusan UPSR juga menunjukkan peningkatan pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu bagi kertas Pemahaman dan Penulisan berbanding dengan purata pencapaian pada tahun 2003-2007. Hal ini juga dapat menolak dakwaan pihak yang tidak bersetuju dengan PPSMI bahawa pelaksanaan dasar itu dapat menyebabkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar akan merosot.
Sebelum ini, beberapa persidangan meja bulat yang dibuat oleh beberapa pihak telah memutuskan bahawa PPSMI tidak wajar diteruskan kerana akan memberi kesan yang tidak baik kepada bahasa kebangsaan. Kementerian Pelajaran dilaporkan akan membuat keputusan tentang penggunaan PPSMI itu berdasarkan laporan persidangan meja bulat yang diadakan dan keputusan UPSR.
Banyak pihak lain pula mahu agar PPSMI diteruskan. Terdapat individu yang berpendapat bahawa kesan PPSMI tidak dapat diukur dalam masa yang singkat, dan program itu harus diberi masa yang lebih panjang. Pihak yang tidak bersetuju juga berpendapat bahawa kesan tidak baik PPSMI terhadap bahasa kebangsaan tidak dapat dilihat dalam masa yang pendek.
Sungguhpun lebih 50% calon UPSR 2008 menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya, kita tidak didedahkan latar belakang calon tersebut. Kemungkinan besar calon tersebut ialah pelajar yang telah biasa dengan penggunaan bahasa Inggeris ketika berinteraksi dengan keluarga, malahan ada yang memang tidak langsung menggunakan bahasa kebangsaan semenjak pandai berkata-kata.
Kajian perlu dibuat terhadap lepasan UPSR ini setelah mereka masuk ke sekolah menengah rendah. Secara rambang, didapati banyak juga pelajar yang cemerlang dalam UPSR, amat menghampakan pencapaian mereka dalam peperiksaan dalaman setelah berada di sekolah menengah, malahan ada yang terperosok dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada penghujung tingkatan tiga. Hal ini mungkin berkaitan dengan pengajaran di sekolah rendah, khususnya semasa dalam darjah enam, yang berbeza daripada cara pembelajaran di sekolah menengah.
Dalam hal ini, Kementerian Pelajaran dan kerajaan perlu mengambil kira pandangan banyak pihak sebelum membuat keputusan tentang PPSMI. Kita tidak boleh menang sorak tetapi kampung tergadai. Kita tidak mampu untuk menyesal kemudian. Sekiranya keputusan tentang hal ini menyebabkan segala yang telah dirancang semenjak 51 tahun dahulu itu musnah, sedarlah bahawa untuk kembali kepada kejayaan asal itu memang sangat sukar.

Senarai Catatan

Laman: Martabat 3

Laman: Rimbunahu